Kikir (file)

1. Kikir (file)

1.1. Pengenalan
Kikir adalah sejenis alat pemotong yang selalu digunakan dalam kerja-kerja kejuruteraan terutamanya dalam operasi menggegas. Ia boleh merata serta melincinkan permukaan, membesarkan lubang, membentuk sudut dan pelbagai jenis bentuk bendakerja.
Kikir adalah sejenis alatan tangan yang diperbuat daripada keluli bermutu tinggi. Permukaan kikir dibuat dengan cara menghentakkan pahat yang dikenakan pada besi yang telah disepuh lindap terlebih dahulu. Selepas gigi kikir habis dipotong, batang kikir dikeraskan pada suhu 800 darjah celsius dan kemudiannya dilakukan penormalan dengan larutan khas.

Kegunaan kikir ialah untuk memotong , menipiskan dan melincinkan permukaan sesuatu kompenan atau bendakerja. Proses memotong, menipiskan dan melincinkan ini dinamakan mengikir.

1.2. Pengelasan Kikir
Kikir berbeza dari segi panjang, bentuk, jenis potongan gigi dan kasar atau halusnya gigi.

1.3. Panjang
Panjang sesuatu kikir diukur dari hujung hingga kebahunya. Panjang kikir ialah antara 100 mm hinggalah 400 mm dengan kadar tambahan 50 mm


     Komponen alat kikir

1.4. Bentuk
                         Kikir yang biasa digunakan  berbentuk segiempat tepat, segiempat sama, segitiga   tirus, bulat dan 
separuh bulat.

                                                             Kikir segiempat tepat

Kikir segiempat sama

   Kikir segitiga tirus
     Kikir bulat


                                                               Kikir separuh bulat


1.5. Jenis Potongan Gigi
Terdapat empat jenis potongan gigi kikir iaitu:
a) Gigi selari
b) Gigi bersilang
c) Gigi lengkung
d) Gigi parut


Jenis-jenis gigi kikir


a)  Gigi selari
Gigi selari dipotong condong pada sudut 65 darjah hingga 85 darjah pada permukaan kikir. Kikir jenis ini biasanya digunakan untuk kerja-kerja penyudahan.
b)  Gigi bersilang
Gigi junam dipotong pada sudut 45 darjah manakala gigi dongak dipotong pada sudut 70 darjah hingga 80 darjah. Kikir jenis ini digunakan untuk kerja-kerja am. Dengan menggunakan kikir ini logam dapat dibuang dengan cepat.
c)  Gigi lengkung
Kikir jenis gigi lengkung digunakan untuk mengikir logam yang lembut seperti aluminium dan kuperam (tembaga), kerana kerak-kerak bahan tersebut tidak mudah melekat pada gigi kikir jenis ini.
b)  Gigi parut
Kikir jenis gigi parut digunakan untuk membuang bahan-bahan yang lembut dengan cepat. Bahan-bahan yang  sangat lembut seperti timah dan kayu boleh dikikir dengan kikir jenis ini. Bentuk gigi parut ini membolehkan bahan yang dipotong keluar dengan mudah.


1.6. Kasar atau Halusnya Gigi Kikir                
 Kasar atau halusnya gigi kikir bergantung pada berapa rapatnya gigi-gigi tersebut dipotong pada permukaan kikir. Gred kehalusan gigi kikir boleh dikelaskan seperti berikut:
a) Paling kasar
b) Kasar
c) Sederhana
d) Halus
e) Sangat halus

Banyaknya bilangan gigi untuk satu-satu gred kikir bergantung pada panjangnya kikir. Jadual menunjukkan bilangan gigi pada kikir yang dikira pada jarak 1 mm. Gigi kikir yang lebih halus dikelaskan mengikut nombor iaitu 00, 0, 1, 2, 3 hinggalah 8. Nombor 8 menunjukkan gred yang paling halus.



Gred
Panjang kikir (mm)
100
150
200
250
300
350
400
Kasar
18
13
11
10
9
8
7
Sederhana
21
17
16
15
14
13
12
Halus
30
24
22
20
19
18
16


Jadual 1.6: Bilangan gigi kikir mengikut gred dan panjang kikir

1.7. Jenis-Jenis Kikir
Untuk menghasilkan sesuatu kerja dengan tepat, cepat dan permukaan yang licin, pemilihan kikir mestilah dibuat dengan betul. Kikir-kikir berikut biasanya digunakan dalam bengkel-bengkel kejuruteraan:
a) Kikir pipih kasar
b) Kikir pipih tirus
c) Kikir belah rotan
d) Kikir bulat
e) Kikir segiempat sama
f)  Kikir segitiga
g) Kikir pipih nipis
h) Kikir bentuk pisau

                                                             Jenis-jenis kikir



a) Kikir pipih kasar
Kikir pipih kasar digunakan untuk kerja-kerja penyudahan rata. Salah satu daripada tepi kikir tersebut tidak ada gigi dan tepi ini disebut tepi selamat. Gred kikir pipih kasar terdiri daripada gred kasar hingga sangat halus.
b) Kikir pipih tirus
Kikir pipih tirus digunakan dalam kerja-kerja am yang melibatkan berbagai-bagai jenis kerja yang berlainan. Gigi kikir ini dikelaskan kepada gred kasar, sederhana, halus, dan sangat halus. Pada satu permukaan kikir, giginya dipotong bersilang intan dan terdapat gigi lurus pada kedua-dua belah tepi. Dua pertiga panjangnya dari pangkal berbentuk selari dan satu pertiga panjangnya kehujung berbentuk tirus.
c) Kikir belah rotan
Kikir belah rotan atau dipanggil juga kikir separuh bulat digunakan untuk menyudahkan bahagian-bahagian yang telah siap. Gigi pada permukaan yang rata berbentuk wajik dan gigi pada permukaan yang melengkung berbentuk silang. Gigi kikir ini digredkan kepada kasar, halus dan sangat halus.
d) Kikir bulat
Kikir bulat kadangkala disebut juga kikir ekor tikus. Gunanya ialah untuk membesarkan lubang yang berbentuk bulat dan lubang yang melengkung. Gred kikir ini terdiri daripada kasar hinggalah sangat halus. Giginya berbentuk lurus dan bersilang.
e) Kikir segiempat sama
Kikir segiempat sama digunakan untuk membesarkan lubang yang berbentuk segiempat sama secara kasar. Kikir jenis ini juga boleh digunakan untuk mengikir lurah atau alur berbentuk segiempat sama dan juga berbagai-bagai bentuk sudut pada sesendal. Kikir ini digredkan kepada kasar hingga sangat halus.
f) Kikir segitiga
Kikir segitiga digunakan untuk mengikir sudut-sudut dalam yang tajam. Ia juga digunakan untuk membersihkan penjuru yang bersudut. Giginya bersilang dan terdapat dalam gred kasar hingga sangat halus.
g) Kikir pipih nipis
Kikir pipih nipis digunakan untuk mengikir celah-celah yang nipis seperti untuk memotong celah-celah pada kunci. Kikir ini tirus pada hujung tetapi tebalnya sama pada keseluruhan panjangnya. Kikir jenis ini cuma terdapat dengan panjang yang terhad iaitu 100 mm, 150 mm dan 200 mm. Giginya bersilang dan grednya dari kasar hingga sangat halus.
h) Kikir bentuk pisau
Kikir bentuk pisau digunakan untuk menajamkan gigi-gigi yang terdapat pada gergaji dan alat-alat pemotong. Bentuknya sama seperti pisau dengan bersudut 15 darjah. Grednya pula daripada kasar hingga sangat halus.

1.8. Penjagaan Kikir
Kikir hendaklah dijaga dengan baik untuk menjamin hasil kerja yang memuaskan disamping membolehkan kikir tersebut tahan lebih lama. Berikut ini disenaraikan beberapa panduan untuk menjaga kikir:
a) Sebelum menggunakan kikir, pastikan kikir itu dipasang dengan hulu yang baik dan sesuai. Terdapat dua jenis hulu, iaitu hulu biasa dan hulu khas yang digunakan untuk mengikir permukaan yang lebar.
b) Kikir mestilah sentiasa dalam keadaan bersih. Kerak-kerak besi yang dibiarkan melekat pada kikir akan merosakkan kikirdan juga permukaan yang dikikir. Kikir boleh dibersihkan dengan menggunakan berus kikir.
c) Selepas digunakan, kikir hendaklah disimpan dengan cermat supaya ia tidak mudah rosak. Letakkan kikir pada rak dan tiap-tiap satu hendaklah disusun berasingan.
d) Jangan gunakan kikir selain untuk mengikir.
e) Gunakan kikir yang sesuai dengan sesuatu bahan yang tertentu. Kikir yang lebih halus digunakan untuk mengikir bahan yang lebih keras.
f) Elakkan kikir daripada terkena air atau minyak. Jika terkena air ia akan berkarat dan jika terkena minyak ia mudah tergelincir semasa mengikir  



















Catat Ulasan

0 Ulasan